Cuba Untuk Mengerti

Hari ini aku rasional kembali. Kembali rasional. Setelah pelbagai persoalan menyesakkan fikiran, aku kembali ke aku yang asal. Alhamdulillah.

Hanya di dalam suasan begini aku dapat berfikir sewajarnya. Juga menimbang seadilnya. Proses demi proses telah ku lalui, dan akhirnya aku rasakan diriku tidak adil kepadanya. Tidak adil kepada dia.

Dia. Memang jalannya penuh liku. Penuh jua luka yang terpendam. Namun ukiran senyum tak lekang di bibirnya. Ungkapan terima kasih tak kenal erti penat. Dia amat baik.

Perilakunya menjadi perhatian. Apa yang dipakainya, bagaimana rambutnya, warna apa makeupnya, semua diteliti. Bila nampak tak enak di mata, ada saja yang mengeji. Tak kurang juga yang memuji bila dia tampak segar dan cantik.

Di sudut yang lain, dari ruang hatinya yang terpencil tak siapa yang tahu. Aku dapat rasakan bahawa kecilnya dunianya! Walau pada zahirnya dia mampu miliki segala, dia tak punya banyak pilihan. Dia tidak bebas!

Dia umpama boneka manusia. Dipakaikan bermacam baju, diberikan pelbagai skrip untuk dipertontonkan. Dia bagaikan tak bernyawa. Nyata dia amat kurang diberi pilihan.

Di sudut hatinya dia dambakan kebebasan. Kebebasan berfikir. Kebebasan bersuara. Telah lama dia pendamkan semuanya.

Namun, bila dia mula bersuara, inilah jadinya. Ribut seantero alam. Semua inginkan dia menjadi seperti yang digambarkan. Semua ingin menjadi pengemudi boneka ini.

Dapat aku rasakan dia cukup menderita. Dia amat menderita. Tak diberi peluang untuk jalani hidup semahunya. Tidak bebas. Bagaikan di dalam sangkar. Bagaikan jasad tanpa rohnya.

Pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku, itu katanya. Itulah luahan hatinya. Andai kau jujur memahami, tidakku menjauhi, itu bisikannya.

Pernah terdengar orang membidas, dahulu naskahnya terbuka. Dia minta kita membaca dan mengenalinya dengan bijaksana, siapa dirinya. Tapi kini mengapa biarlah rahsia?

Dahulu percayalah, kini mengapa bisakah? Aku hanya mendengar. Cuma dia ada jawapannya.

Cuba kuselami, nyata aku sendiri tak mampu melalui semuanya sebaik yang dia lakukan. Untuk itu, aku kembali rasional. Dia ada sebab untuk tindakannya itu.

Mungkin dia tersilap langkah kali ini. Bagi aku, itu hanya untuk membuktikan dia adalah insan. Yang tidak lari dari kesilapan. Kenapa didambakan dia bertindak umpama malaikat?

Mungkin ini ujian tuhan ke atasnya. Siapa tahu? Mungkin juga ini pembalasan dendam olehnya atas ketidakbebasan hidupnya? Mungkin ini hanya dogengan kosong?

Tak siapa yang tahu melain dia yang melalui dan DIA yang merancang dan memutuskan.

Apa pun, sokongn ku kembali kepadanya. Walau ku tahu, jalan untuk mendirikannya di mata orang lain tambah berliku, tambah perit selepas ini.

Walau ku tahu, mungkin aku tidak mampu melalui segalanya hanya untuk memberi sokonganku. Mungkin juga orang lain akan membidasku kenapa aku masih di belakangnya.

Lantaklah. Aku tetap di sini untuknya. Walau macam mana sekalipun. Seperti telah ku nyatakan, apa yang ku lalui dengannya sudah terlalu lama, sudah bermacam yang tercipta. Aku tidak mahu dan tidak rela mengakhirkan segalanya.

Kali ini ku turut kata hatiku sendiri biarpun orang berkata turutkan hati mati, turutkan rasa binasa. Asalkan aku kekal merasakan aku adalah aku. Aku yang rasional. Aku yang seperti sebelumnya. Aku tetap aku.

Dia tetap dia. Bebaskanlah dia. Cubalah untuk mengerti. Jalani hidup sendiri, tanpa membebaninya lagi.

Aku yang menulis dengan rasional,
ak_0143


:::YTBACK!!!:::

1 comments:

Dora said...

ak_0143,hidup umpama roda,tdk berada di atas ataupun bawah selamanya.Hidup di dunia pun hanya sementara,apa jua yg kita buat, biarlah berpada-pada.Dia hanya insan biasa,beri ruang pd dia. Cubalah kita mengerti,memahami, menyayangi dia sepenuh hati dan memberi sokongan yg tiada belah bagi.