K.A.W.A.N.

0039 – 31 Oktober 2006
K.A.W.A.N?

Prolog

Laptop ku capai, di atas katil ku damparkan. Meletak diri dalam keadaan selesa, sambil membuka application Word. Berharap idea yang ingin ditulis tidak berlalu pergi. Berharap sangat agar apa yang ingin ku ceritakan dapat digambarkan sepenuhnya.

Kali ini aku berada di zon 113. Jauh dari rumah, di kolej. Menunggu tibanya hari peperiksaan terakhir untuk semester ini. Pulang awal mengharapkan agar adalah waktu berkualiti akan ku luangkan untuk pelajaranku. Harapnya pointer kali ini menjulang tinggi berbanding semester lepas.

Lupakan dulu soal itu. Esok aku akan memulakannya. Biarkan dulu aku bersenang lenang hari ini sambil merehatkan badan dan minda. Menyediakan diri untuk hari esok.

Sebenarnya aku menulis kali ini atas permintaan. Bukan permintaan la sebenarnya, lebih kepada idea untuk menulis yang datang dari seseorang yang tidak pernah ku jumpa, tetapi kerap bertukar-tukar pesanan. Harapnya lepas ni kita boleh jumpa ya. Janji tau cuti ni, Hamz?

Awalnya seperti biasa, pesanan biasa yang ditukar-tukar sehinggalah dia menanyakan aku soal kawan. Hurm, kawan. Bunyinya mudah, tapi bagi aku ianya mendalam. Perlukan pengertian yang secukupnya.

Aku pernah menulis mengenai ini sebelum ini, tapi ianya hanyalah di atas angin dan berlapik. Ditakuti kalau si polan yang aku bincangkan membaca blogku ini.

Tapi hari ini aku rasakan tidak guna lagi aku berselindung. Untuk mengawal penulisanku semata-mata untuk menjaga hati orang lain di blog aku sendiri, tiada gunanya. Lagipun tak ramai yang membaca blog ini (sedikit sayu... hehe). Nak buat macam mana, aku bukannya artis terkenal kan.

Jadi di sini aku ingin kembali membincangkan soal kawan. Dengan lebih terperinci dan mendalam. Dengan lebih jujur. Dengan terbuka.

Namun, pada masa yang sama, aku masih juga manusia yang cuba menyembunyikan. Mungkin ada yang akan kusembunyikan. Semuanya bergantung kepada aku ketika ini. Jika ianya tercerita, maka terceritalah.

Satu peringatan – TULISAN DI BLOG INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI AKU MENGENAI SESUATU PERKARA. APA YANG AKU RASA, APA YANG TERLUKIS DI YANG TERDALAM. AKU TAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA-APA PERASAAN YANG MUNGKIN TIMBUL HASIL PEMBACAAN ANDA. JIKA ANDA SEDIA UNTUK BERSIFAT TERBUKA, TERUSKAN. JIKA TIDAK, HARAP BERHENTI DI SINI. ANDA SUDAH DIINGATKAN!

Perlu lebih tegas dan keras. Agar ideaku ini dan perspektifku melihat perkara ini tidak lari. Tidak digugah oleh mana-mana ancaman luar. Biarlah ianya datang dari dalam diri aku sendiri. Dari yang teradalam...

Kawan

Kawan. Mudahkan menyebutnya. Friend? Teman? Member? Sahabat? Dan macam-macam lagilah yang diungkapkan kepada maksud kawan. Ianya pasti hadir dalam hidup kita, namun tempoh kehadirannya tak dapat dipastikan pula. Apakah maksudnya yang sebenar? Apakah yang diertikannya?

Aku sendiri jujurnya masih mencari apakah maksudnya. Kerana aku tidak punya apa-apa yang menceritakan maksudnya. Jika dilihat kamus, maksud yang diterangkan kadangkala tidak menerangkan apa maksud kawan kepada diriku sendiri. Jadi aku memilih untuk belajar dan mengetahui maksudnya melalui pengalamanku. Belajar dari pengalaman.

Inilah cerita yang ingin ku ceritakan Hamz, mungkin ianya kena mengena dengan soalan yang kau ajukan, mungkin juga tidak. Aku hanya menulis untuk berkongsi cerita, untuk meluahkan sejujurnya apa yang dirasa tentang kawan. Aku tak pasti sama ada ini boleh membantu kau atau tidak.

Sejarah ku berkawan, ya, aku memang ramai kawan. Ramai kenalan. Ramai sahabat? Itu mungkin sudah terlalu jauh.

Dalam usiaku yang menanjak 20 tahun ini aku sudah temui berbagai ragam kawan. Baik hati, pemalas, segalanya! Juga yang datang bila kita gembira dan pergi bila kita berduka.

A friend in need is a friend indeed, kerap dilaungkan. Namun kerapkah ianya dilakukan?

Permulaan…

Semenjak ku lahir, aku duduk di ceruk kawasan Felda di Sungai Tekam, Jengka (atau Maran, aku tak pasti). Kerja bapaku sebagai jurutera memaksa kami tinggal di situ.

Dalam komuniti jurutera begitu, apalah sangat dunia aku sebagai anak kecil? Aku tak ingat lagi sama ada ketika itu aku mempunyai kawan atau tidak. Yang nyata banyak masa dihabiskan bersama adikku. Dialah teman untuk bermain, berbasikal sama-sama dan segalanya. Aku memang tidak didedahkan dengan dunia kawan di situ.

Jika adapun aku sudah tidak ingat.

Menanjak usiaku 6 tahun, kami berpindah ke Selangor di Selayang. Mendaftarkan diriku di tabika Kemas yang rata-ratanya bersama penduduk di sekitar itu. Di sinilah mulanya aku didedahkan dengan dunia berkawan. Berkongsi makanan dan sebagainya.

Aku ingat lagi, ada satu ketika ada kawanku membawa kereta permainannya ke tadika. Mereka berkumpul bermain bersama. Sampailah ketika bila kereta itu terlantun ke arahku. Aku dengan niat berkawan, memegang kereta itu dan ingin bermain bersama.

Tapi yang ku dapat hanyalah jeritan dan pekikan, dan mereka mula mengerjar untuk memukulku. Tersentapnya perasaan kecilku bila keadaan itu berlaku. Aku berlari ke arah guru.

Itu sahaja yang aku ingat mengenai duniaku di tadika. Yang nyata di saat itu aku mula membenci keganasan. Aku mula memahami yang tak semua rakan itu baik.

Pertengahan...

Masuk ke darjah satu, aku menambahkan lagi pengalamanku mengenai kawan. Rakan peratamku seorang perempuan, Noorhidayatul Ummi aku ingat lagi. Kami sering bertukar-tukar makanan ketika rehat. Tapi kebanyakannya aku yang menumpang. Sedapnya bihun yang dimasak ibunya ketika itu.

Di sekolah rendah aku banyak berkawan dengan rakan perempuan. Mereka mudah. Buat baik sikit, terus mengaku kawan. Bagi gula-gula sikit, terus sahabat.

Tapi untuk kawan dengan lelaki agak payah. Kau kena ada kad ultraman, baru kau kawan aku. Kau kena ada basikal besar, baru kau kawan aku. Kau kena tiru stail rambut macam aku, baru kau kawan aku.

Jadi aku memilih untuk berkawan dengan perempuan. Tambahan pula di saat itu aku mementingkan pelajaran. Bagiku, lelaki hanya tahu main je.

Hasilnya, aku mendapat nombor satu dalam darjah. Bukan dalam kelas, tapi dalam darjah. Jadi saat itu aku percaya formula untuk berkawan dengan perempuan adalah betul.

Masih di pertengahan...

Masuk ke sekolah menengah, hasil dari keputusan UPSR ku yang kurang dari jangkaan, aku masuk ke sekolah yang sebenarnya salah satu sekolah tercorot di daerah Gombak. Memang banyak masalah sekolah tu!

Namun yang peliknya, sistem pembelajaran di sekolah itu amat bagus. Lelaki dan perempuan diasingkan. Lelaki ke sekolah kena pakai songkok. Sembahyang kena berjemaaah. Islamik kan?

Dan di sini, nak tak nak aku kena memulakan untuk rapat dengan pelajar lelaki. Bukan maksudku sebelum itu tak ada kawan langsung, Cuma aku kurang rapat. Dah sekelas semua lelaki, kena lah sesuaikan diri.

Aku mula dikelilingi kawan-kawan yang mengajarku banyak perkara. Juga sedikit blue diajarkan ketika itu. Tak apalah. Pengalaman hidup.

Aku bersyukur sebenarnya diberikan pengalaman bersekolah di situ. Sekurang-kurangnya kini aku mula pandai bergaul dengan lelaki dengan perempuan. Di situ telah menjadi kelebihan apabila lelaki ketika itu amatlah pemalu, hanya bergaul dengan lelaki dan perempuan juga begitu. Jadi kiranya aku sebagai pemecah tembok mereka.

Bila aku dah mengenali fiil lelaki begini, perempuan begini, aku diterima masuk ke sekolah asrama penuh. Harapnya di sana, setiap hari hidup bersama aku dapat berkawan dengan lebih lagi.

Dan di saat itu juga kematangan telah mula timbul apabila aku menyedari, aku tidak boleh berkawan dengan semua orang sekaligus. Kekangan minat dan kebolehan membuatkan aku sedar, aku perlu mencari kawan baik yang sekepala dengan ku.

Dan terpilihnya aku ke SEMASHUR ku harapkan dapat memberikan aku rakan baik yang ku cari.

Pertengahan lagi...

Pelbagai kenangan telah tercipta di sana. Suka duka dilalui bersama. (aku agak sentimental sikit bile membicarakan soal ini, kerana di sana memang banyak kenangan yang telah tercipta!). Aku gembira di sana. Aku boleh berdikari, aku boleh menguruskan diri.

Namun sepanjang dua tahun aku di sana, aku tidak dapat rakan baik yang ku cari. Hingga yang pilunya, bila tiba di saat akhir untuk aku di situ, aku seakan-akan merayu, meminta-minta untuk didampingi. (perempuan tiada masalah)

Aku ingat lagi, dengan muka tebal, hampir tiap malam aku ke dorm rakanku, walau semana sibuk aku, demi memastikan aku dapat meluangkan masa bersamanya. Kerana saat itu aku tahu waktu aku kian singkat untuk mencipta ikatan.

Ke sana, ku lihat dia bersama rakan-rakannya yang lain. Aku mengendeng, meminta sedikit perhatian. Dia melayan. Aku yang lurus bendul dan tongong ketika itu menyangkakan ianya persahabatan. Terus aku gembira.

Namun bila sesuatu berlaku kepadaku, dia tidak bisa membantu. Memang peristiwa yang amat besar, biarlah ia menjadi rahsia. Dia langsung tak kisahkanku. Sehingga akuy menangis di dalam hati.

Aku ada simpankan sebuah buku yang mencatatkan hari-hari terakhirku di sekolah itu. Ala-ala diari la. Namun bila kini ku buka kembali buku itu, hanya penuh dengan kesedihan, dan rasa kesepian aku yang tak berteman.

Banyak perkara yang memilukan terjadi sepanjang hari terakhirku di sana. Tiba saat berpisah, dia buat selamba, aku yang tak malu bersalam dan memeluknya

”terima kasih kerana buat aku senyum kembali” aku ingat lagi, itu kataku. Kerana peristiwa besar itu telah mengaburi mataku untuk meneruskan pelajaran di situ, hinggalah dia memberi semangat kepadaku. Atau simpati?

Aku tak peduli semua itu. Yang nyata aku sayu.

Dunia Khayalan...

Cuti selepas SPM banyak menyedarkanku betapa sunyinya aku. Ada saatnya aku menunggu bilakah mereka-mereka ini akan menelefonku, sms ke untuk bertanya khabar. Nak tak nak, aku yang tak malu memulakan segalanya. Telefon, sms, jumpa, semua hasilnya sedikit mengguris perasaanku.

Saat ini, lagu tema yang sering membuai perasaanku,

”I woke up it was seven, i waited till eleven, just to figure out that no one
would call, i think i got a lot of friends, but i don’t hear from them, what
another night all alone... (I’m Just A Kid – Simple Plan)”

Aku meminta-minta untuk diberi perhatian,

”Every now and then, when I’m all alone, I wishing that you would call me on the
telephone, say you want me there, but you never do, i feel like such a fool...
(Stuck – Stacie Orrico)

Di sinilah mulanya tercipta alam khayalanku. Aku mencipta duniaku sendiri. Aku menjelajah dalam imaginasi sendiri. Aku keseorangan.

”Semua takkan berubah, semua takkan berubah, ini taman mimpi, ini taman
langitku... (Taman Langit – Peterpan)

”Ku begini seperti selalu, membilang waktu berlalu, entah berapa lama, aku tak
sedarinya, berapa lama aku menunggu... (Ku Menunggu – Siti Nurhaliza)

Aku mencipta duniaku sendiri. Bagiku semuanya sama sahaja. Kawan bagiku ketika itu akan datang dan pergi. I lost faith in friends. Aku tak percayakan ungkapan kawan.

Untuk mengatakan kau adalah kawan aku, amat payah. Aku fikirkan aku hanya keseorangan.

Zaman matriks ku berlalu begitu sahaja. Kerana itu yang sudah ku katakan kepada diri – kawan datang dan pergi. Walaupun aku jumpa ramai rakan sekepala...

Bermulalah lembaranku sebagai pelajar universiti. Peganganku tetap sama – rakan datang dan pergi. Jadi tak guna lagi aku mencari kan?

Kehidupan sebagai mahasiswa yang sibuk membuatkan ku lupa erti kawan. Lantaklah, mereka akan datang dan pergi. Aku hanya melalui rutin harianku sendirian.

Hinggalah.

Cerita ini yang ingin aku ceritakan...

Atas sebab tertentu, cerita di atas perlu di sambung bila aku ada idea yang betul-betul mantap.

Sori ye...


:::YTBACK!!!:::

0 comments: