0037 – 26 Oktober 2006
Raya?
Prolog
Well, its me again.
Writing from my other comfort zone apart from my 113 zone.
Dah hari raya yang ketiga, dan makin bertambah juga la hari aku ada di rumah ni. Adakalanya cuti ni amat melegakan, tapi at the same time ia amatlah membosankan.
Tambahan pula bila kita kena lakukan banyak perkara yang kita tak nak dan juga tak de hubungan langsung dengan dunia luar.
Well, itu yang jadi kat aku cuti ni. Tapi memang most of my cuti macam ni. Lain la kalau ada connection to internet. At least aku dapat tahu pasal dunia luar.
Tapi nampaknya cuti ni internet ku bermasalah. Dan aku menulis ni pun tanpa berharap untuk menguploadkannya. Aku just menulis.
Kalau nak tunggu internet ada, mau berzaman juga baru aku menulis!
Blogger to Penafsir
Hurm, macam ni la, sebenarnya macam-macam yang berlaku. Banyak yang aku nak tuliskan. One thing yang aku perasan bila aku mula blog ni, aku mula menjadi seorang penafsir. Macam mana tu?
Bila sesuatu berlaku kat aku, aku mula lah menafsirkan perkara itu dalam bentuk yang mudah difahami seakan bercerita. Kononnya aku nak kena tulis dalam blog lah.
Contohnya, aku selalu tengok keadaan tu melalui pelbagai perspektif. Aku biasanya akan mulakan tafsiran aku dengan, korang tau tak... bla bla bla...
Sampaikan pelbagai benda ingin aku tafsirkan. Walau sekecil-kecilnya.
Kan aku pernah cakap dulu, jika adalah alat yang diletakkan di hati ni dan boleh update blog dari situ, mau rosak dunia internet. Banyak sangat maklumat.
Tapi bagus juga begitu. Bila sesuatu yang rumit aku cuba permudahkan, dengan tak sengaja aku dalam usaha untuk mengatasinya. Secara tak sedar, tiba-tiba masalah tu dah selesai.
So, siapa cakap blogging ni buang masa? Selain dari ajar korang macam mana nak meluah perasaan, ia juga pelepas tension. And i’m grateful to be in this blogging world.
Pengertian hari raya...
Hari ini hari ketiga raya. Aku masih lagi mencari pengertian hari raya.
Huh? Motif tukar tone?
Ya, sememangnya menjelang hari raya hari tu, aku mula terfikir dan berfikir, apa makna raya sebenarnya ya? Adakah ianya terletak pada juadah yang enak, duit raya, baju baru dan juga ibubapa di kampung?
Sebetulnya, tahun ini aku tidak bersemangat untuk raya. Entah kenapa, banyak perkara.
Ramadhan yang berlalu...
Pertama, aku rasakan aku tidak menggunakan masa Ramadhan ku sepenuhnya. Pertama kali aku rasa begini. Nampak sangat aku semakin matang.
Bulan yang penuh berkat itu berlalu begitu sahaja. Ada juga azamku di awal Ramadhan itu tak tercapai. Malah ia menjadi semakin buruk.
Di awal Ramadhan, azam telah ditulis di hati, dan aku semakin cuba mengikutinya. Sedikit demi sedikit aku ke arah itu. Harapanku di tengahnya aku semakin menghampiri sasaran.
Di tengahnya, aku ditimbuni dengan pelbagai urusan duniawi yang membataskan semuanya. Aku leka dan lalai untuk menguruskan Ramadhanku. Dan aku hanya mengikut sahaja. Tanpa daya untuk membaikinya.
Di akhir Ramadhan, keadaan semakin tak terurus. Sehinggakan pelbagai dosa aku lakukan. Itukah dugaan?
Dan bila raya hampir menjelma, hati aku sayu. Seriusly, aku tak pernah terfikir begini. Selalunya bila nak dekat raya, aku hanya fikirkan raya. Tapi rasa itu tiada.
Aku hanya terfikir akankah ku jumpa Ramadhan lagi. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku hanya berpemikiran begini.
Tiada rasa...
Aku langsung rasa tidak teruja untuk pulang ke rumah. Tiada rasa hari raya. Tambahan pula di rumah aku rasakan suasana mengongkongku.
Di situ aku ada tanggungjawab. Aku perlu menjaga itu, menjaga ini. Aku perlu menjadi yang terbaik. Aku perlu mengawal semuanya.
Berbeza ku di kampus, aku hanya mengawal diriku. Ianya lebih mudah kerana aku lebih mengenali diriku.
Di akhir-akhir hariku di kampus, aku masih lagi leka melayani Internet di astaka. Lepas sembahyang Jumaat, aku lepak di situ. Terhanyut dengan dunia internet.
Sehinggalah di situ juga berkumpulnya makcik-makcik cleaner yang beru habis bertugas. Mereka datang di situ berehat. Bercerita dan mengusik antara satu yang lain dengan rianya. Bercerita tentang hari raya.
Aku hanya mendengar. Di samping ditemani dunia internetku. Sedikit bengang bila connection buat hal.
Tibanya ketika, seorang makcik cleaner menghampiriku untuk mengemas di bahagianku.
”hai... tak balik lagi ke?” tanyanya.
”tak, esok pagi”
”kesiannya, mesti dah terbayang emak kat kampung tu”
”takdelah” (di sini aku jujur)
”ish, mak cik dah terbayang dah semua sanak saudara di kampung, mesti best”
(aku hanya mendengar)
”mak cik balik mana?” (aku buat-buat mesra)
”raub, anak?”
”saya selayang”
Perbualan itu terhenti di situ bila dia ke bahagian lain.
Ia membuatku berfikir, apa perasaan ku di hari raya ini. Sesungguhnya ketika itu, tiada perasaan, hanya hari untuk aku pulang ke rumah. Entahlah...
Ketiadaan rasa berterusan...
Perasaan itu terbawa keesokannya bila aku dijadualkan pulang ke rumah. Setelah mengemas bilik lepas subuh pagi itu (kerana roomateku yang tak betul tinggalkan bilik macam tu je) aku bertemu dua rakanku untuk balik bersama.
Kaget aku sebentar, bila melihat keduanya lengkap berpakaian baju kurung! Tergelak aku di depan mereka. Mengusik diorang raya awal.
”Kamal, ni raya la, kenalah pakai baju kurung”
Aku terpempan. Hurm, tapi kenapa bagiku ianya tiada rasa?
Telefonku berbunyi. Ibuku. Bertanyakanku samada aku sudi mengecat rumah atau tidak. Katanya tahun ini tiada yang baru di rumah, sekurang-kurangnya biarlah nampak berseri sedikit.
Aku katakan tidak kisah. Cat pun cat lah..
Dan perasaan ketidak kisahanku kepada Hari Raya berlarutan di dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur itu...
Lagu raya bersilih ganti di dalam perjalananku itu. Aku buat tak tahu, melayan mp4 ku, kerana aku tiada rasa untuk beraya!
Sampai di rumah, suasana menyambutku. Adik-adikku sedang mengemas rumah. Ada yang mengemas bilik (yang akhirnya sama je aku tengok), adikku yang pertama pula membasuh bilik air. Aku terus ke bilikku.
Ku perasan cadar bertukar baru. Warna oren, corak bulat-bulat. Tak pernah ku lihat. Dan nyata ianya baru apabila aku merasai kelainan tekstur kainnya bila aku melabuhkan badanku. Tekstur baru. Bau pun bau kedai.
Turun ke bawah. Ibu bapaku di ruang tamu. Duduk, bercerita hal kolej ku. Tiada langsung pasal raya. Hinggalah ibuku memulakan..
”ko nak cat rumah tak ni?”
”hurm, nak cat, cat je lah”
”ok, esok kita beli cat”
Aku tak kisah sebenarnya. Tiada perasaan.
Esoknya mencari cat. Mengecat ruang tamu malam itu juga. Warna oren kekuningan. Sedikit hampa warna lavender tidak sesuai untuk ruang itu.
Di saat ini semua membantu. Selain daripada bapaku yang hanya tahu mengarah sahaja, yang lain semua membantu. Sehinggakan yang si kecil pun ingin membantu. Membantu buat kacau!
Ini ke pengertian raya sebenarnya? Bersatu hati?
Esoknya berjalan seperti biasa. Sedar tak sedar ia hari terakhir puasa. Sedikit sayu kembali. Ramadhan akan pergi.
Raya???
Malam itu takbir bergema. Aku biasa sahaja. Tiada merasakan apa-apa.
Pagi raya, aku seakan malas untuk bangun. 2 3 kali juga dikejutkan adik-adikku supaya bersiap. Dengan malas aku bersiap.
Bersembahyang raya, bersalaman. Berjumpa saudara selepas sembahyang raya. Tiba-tiba di sini ku merasakan kesayuan. Kasih sayang antara keluarga, amat mesra walau jarang berjumpa.
Tiba masa untuk duit raya. Walau ku rasa aku sudah cukup besar untuk itu, mereka tetap memberi. Ambil sahajalah, boleh buat modal betulkan laptop. (laptop jenama asus yang bangang ni, jadi kapal layar balik. Aku memang bengang)
Berkunjung ke rumah-rumah yang sering dikunjungi setiap tahun. Tiada yang lain. Biasa sahaja.
Semuanya biasa kan?
Sanak saudara...yang tak disangka...
Raya kedua ke Jengka, melawat opahku. Di Felda Sungai Tekam, dekat Maran. Rumah lamaku di situ. Mana aku ingat, aku terlalu kecil waktu itu.
Ke rumah abang tiri ayahku. Melawat opah. Tua benar ku lihat. Uzur sangat.
Bercerita mengenai opah, banyak kali juga aku dipanggil pulang kerana opah terlalu uzur. Tapi dia masih gagah sehingga ke hari ini.
Keluarga abang tiri ayahku melayan nak tak nak je. Aku bosan. Ayahku duduk lama di situ, kerana dia menjaga opahku.
Aku betul-betul marah ketika itu. Dah orang nak tak nak layan, baik kita balik je. Tak penat. Tambahan pula peang tu ada Antara KL dan Jakarta.
Kemudian, ibuku memberi cadangan untuk ke rumah ’kakak’. Siapa aku tak tahu. Aku merungut di dalam hati. Ah penatnya raya macam ni!
Tapi rungutanku berakhir saat tiba di rumah itu. Layanan yang amat mesra. Baru ku kenal saudaraku di sebelah ini (walau bukan saudara direct).
Mereka merupakan keluarga isteri pertama abang tiri ayahku. Ayahku rapat dengan mereka sebab selepas kematian datukku, mereka ini tempat dia mengadu.
Baru ku tahu aku ada saudara begini. Meriah rasanya. Tak delah bosan macam rumah sebelum ini.
Tak semena-mena saat itu aku berfikir, betapa rumitnya salasilah sebelah bapaku. Walau di dalam folio salasilah keluarga masa form 1 dulu aku tulis simple je, rupanya ia lebih berselirat.
Ayahku anak tunggal. Tapi dia ada juga adik beradik tiri hasil perkahwinan opahku sebelum dengan datukku (tak pernah bersua muka, meninggal sebelum ku mengenal dunia)
Aku pun tak kenal sangat siapa saudara sebelah ayahku. Balik kampung pun bukannya mereka ada. Entahlah.
Dan raya ini aku mengenal lagi saudara-saudara baru yang selama ini aku tak tahu kewujudannya. So, perjalanan ke Jengka itu taklah sia-sia.
Raya sebenarnya...
Itu membuatkanku berfikir.
Apakah sebenarnya pengertian hari raya? Adakah ianya terletak pada juadah yang enak, duit raya, baju baru dan juga ibubapa di kampung?
Bagiku, kini, ianya lebih terletak kepada ikatan silaturrahim antara manusia. Saudara yang tidak pernah ku kenal, melayan dengan sungguh baik. Aku sedikit terharu.
Raya juga hari bermaafan. Walau kini aku meragui ungkapan maaf yang kerap disms kan. Semuanya berbunyi sama. Main forward je, tanpa terasa di hati.
Raya juga hari makanan. Juadah yang tersedia, memang sukar dicari di hari lain. Yumm!
Raya juga menerbitkan keinsafan. Betapa aku telah mensia-siakan Ramadhanku.
Penutup
Jadi di cuti ini, aku seperti biasa berfikir tentang diri.
Tentang harapan, cita-cita, tanggungjawab.
Semua tentang diri.
Siapa di sisi, dan mengulang kembali apa yang telah berlaku kepada diriku.
Di sini, tiada apa yang boleh ku lakukan. Masa telah berlalu pergi, aku hanya bisa menjanjikan yang terbaik untuk masa depan yang mendatang.
”Ku tak bisa merubah yang telah terjadi, tapi aku kan menjanjikan yang terbaik”
Walau pun cuti ini sebenarnya aku diduga lagi, aku sudah seakan lali.
Masalah itu takkan pergi begitu sahaja. Biarlah ia mengambil masa untuk berada di sisiku sebagai masalah selagi ianya ku kenal sebagai masalah.
Dan ku dengan penuh rasa rendah diri, atas kekhilafanku sebagai manusia, memohon ampun kepada semua atas salah dan silap yang ku sedar, mahupun tidak sedar.
Walau zahirnya aku begini, tapi di yang terdalam aku sedar siapakah diriku sebenarnya...
Salam Ramadhan
8 years ago
0 comments:
Post a Comment