Dari ruang hatiku yang terpencil~

0018 - 17, 18 Julai 2006
Dari ruang hatiku yang terpencil~

Coretan dari zon selesa

Ini adalah zon selesaku. Zon selesaku di sini.

Cukup hanya sekadar kamar tidurku yang ku rasakan selesa. Sengaja kupilih kamar di sebelah bawah, dengan susunan perabot yang menyebabkan zon ini agak terlindung. Juga tersorok dari yang lain. Juga membuatkanku bahagia.

Hanya di zon ini aku menjadi diriku yang sendiri. Tiada pembohongan, tiada hipokrasi. Di sini aku adalah aku sejujurnya.

Di rumah, aku juga mempunyai zon seperti ini. Di zon-zon sebegini barulah aku bebas. Tidak bermuka-muka. Di sinilah aku adalah aku.

Dari zon yang selesa ini, dari sudut yang terpencil ini, dari hatiku yang terdalam, aku menulis.

Menulis dan terus menulis.

Segala rasa dan perasaan. Yang mungkin dapatku gambarkan dengan kata-kata, juga mungkin gambarannya tak sampai, hanya samar-samar kelihatan.

Semua yang ingin aku tuliskan berlaku hari ini. Namun ceritanya lama. Dan juga amat panjang.

Maafkan jika luahanku kali ini amat seksa untuk dibaca. Mungkin juga memenatkan dan membosankan. Aku tak peduli.

Asalkan di hati ini, akhirnya aku akan merasa lapang dan tenang. Semoga di hati ini akan tiada lagi rasa sakit dan kacau. Semoga akhirnya aku kembali menjadi diriku sendiri.

Hentikan pembacaan anda jika ini bakal menyinggung dan menganggu. Teruskan jika anda ingin tahu dan cuba untuk memahami.

Kerna aku menulis segala rasa yang sukarku gambarkan. Mungkin seronok dibaca. Mungkin membosankan. Aku tak tahu apa hasilnya nanti. Asalkan akhirnya matlamatku menulis akan tercapai.

Aku!

Perasaan memanglah satu yang sukar untuk digambarkan. Segalanya boleh bertukar dalam sekelip cuma. Ia boleh bercampur aduk dan berbolak balik. Kadang-kadang kita merasa pelbagai perasaan dalam satu masa. Itulah sebabnya aku sukar menggambarkannya kali ini.

Ingat, anda telah diingatkan!

Jika pembacaan anda diteruskan, bermakna, anda memang ingin tahu. Dan aku menulis mengikut kata hati, dengan pemikiran bahawa anda ingin tahu kisahku. Anda ingin tahu yang terdalam diriku.

Ini pilihan anda! Aku tak bisa menentukan. Hanya anda yang berhak.

Pemikiran kita mungkin berbeza. Tapi di sini pemikiranku, dari kaca mataku yang lebih mendominasi. Jadi cubalah untuk mengerti.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah Bermula...

Cerita bermula, di pagi ini. Awalnya seperti hari-hari yang biasa. Tenang dan mendamaikan. Juga sedikit membuatku mengantuk. Tambahan pula rakan-rakanku mengambil peluang mencuri masa untuk melelapkan mata selepas subuh. Aku tidak terkecuali.

Subjek pertama bermula jam 10. Tamadun Islam. Apa lagi perlu dikatakan. Kadang-kadang aku rasakan aku patut berada di situ, kadang-kadang aku rasa bosan. Tapi bagus juga subjek ini ada. Agar aku tak terpesong jauh. Agar selalu ada ingatan-ingatan diberikan kepadaku.

Kelas tamat jam 11. Berjalan pulang, hampir 1 km ke rumah di Perkampungan Gambang Perdana ini. Ketika berjalan, seperti biasa. Langsung ku tak rasakan sesuatu akan berlaku hari ini.

Mesej dari Azli memula segala. Tatkala, aku hampir melelapkan mata, menunaikan tugas wajibku ketika senggang waktu kelas.

“Kamal, tengok TV3, Siti nak umum tarikh perkahwinan dia!”

Aku bingkas bangkit. Rupanya hari ini yang ku tunggukan selama ini! Aku menelefon Azli. Rupa-rupanya dia sendiri sedang berada dalam kuliah. Informer @ maknya yang memberitahu.

Dalam kemalasan untuk berjalan ke kafe, untuk melihat sendiri sidang akhbar secara langsung itu, aku mesej Dora. Bertanyakan hal yang sama. Ringkas sahaja jawapannya.

“Yes, dah tertulis jodoh CT dengan datuk K. Sabar yeah!”

Dora memang begitu. Dia selalu mengerti dan redha.

Bagus juga dia begitu. Sekurang-kurangnya ada juga yang menenangkan perasaan.

Ku selongkar kotak di bilikku ini, mencari walkman. Ke setiap pelusuk bilik, mencari line radio. Radio era ku dengar antara jelas dan tidak. Tiada apa-apa pun.

Rupanya siaran langsung di radio Hot.fm!

Adoi!

Perasaan yang terdalam...

Ketika itu, perasaan bercampur baur. Jauh di sudut hati aku tak mahu ia berlaku.

Aku tak mahu dia dipandang rendah oleh masyarakat. Aku tak mahu mereka mencemuhnya. Antara kasih dan kasihan kepadanya.

Aku berharap agar tiba-tiba dia membuat kenyataan yang semuanya bohong berlaka. Umpama just kidding. Atau apa-apa lah. Supaya kisah ini bakal menjadi sejarah apabila satu Malaysia tertipu dengan rancangannya. Namun itu cuma imaginasiku.

Mengapa aku berimaginasi demikian? Mengapa? Ada sebabnya.

Sebenarnya, walau dari jauh melihatnya, aku tahu dia amat derita. Perlu menjaga hati setiap orang. Disuruh buat itu ini. Tidak bebas. Bagai boneka.

Kalau aku berada di tempatnya, pasti aku menjadi pendendam. Dendam pada keadaan. Pada semua orang. Semua yang menganggugugat hidupku.

Itu yang aku rasa jika aku di tempatnya. Tapi mungkin tafsiranku silap. Kerana aku tidak sebetu-betulnya berada di tempatnya. Ia terlau subjektif.

Kalau ditanya pendapatku, aku katakan aku bersetuju dan juga tidak. Tapi siapa aku? Aku hanya peminat dari jauh, yang memerhati setiap gerak geri. Yang mengikuti setiap kisah. Tapi yang merasanya bukan aku. Dia yang merasa.

Bersetuju dan juga tidak bersetuju. Setiap kata-kataku ada makna tersirat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SETUJU!!!

1 – siapa lagi?


Bersetuju mungkin kerana, aku merasakan tiada siapa lagi yang layak untuknya. Lihat sajalah siapa dia. Dia seorang bintang. Ramai mengenalinya. Cantik, anggun. Juga kaya.

Lelaki-lelaki biasa tak bisa menahan ego sendiri. Kerana dia telah terlebih dahulu ke depan. Siapa yang nak berbinikan seseorang yang gajinya lebih dari kita? Aku pun tak nak.

Inilah dilema perempuan yang mencapai kejayaan diri sendiri. Mereka memang sukar mendapat jodoh.

2 – suratan takdir

Setuju juga kerana aku merasakan yang sudah tertulis di azali ada hikmahnya. Suratan takdir melampaui kuasa kita sebagai manusia.

Aku yakin DIA ada sebab memberikan takdir ini untuknya.

Mungkin inilah kebahagian yang sejati yang dicarinya selama ini. Mungkin juga ini satu ujian besar yang akan membuatkannya lebih berjaya di masa akan datang. Semuanya mungkin.

Di sini, proses pemikiranku bermula. Akukan pemikir sejati.

Dari perkara yang ringkas ini, aku sedar betapa kerdilnya kuasa kita sebagai manusia. Walau pada zahirnya kita bisa berusaha, namun di akhirnya semua terletak di tangan DIA. Dan itu akan ku ambil sebagai iktibar.

Takdir dia yang sudah tertulis tidak mampu dihalang. Hanya DIA yang tahu. Kita hanya mampu mengikutnya.

Ramai juga berkata, kenapa datuk k? Takde lagi muda ke? Atau lagi kacak? Yang tidak bermisai?

Jawapanku mudah sahaja, ia sudah tertulis. DIA lah pengarahnya. Kita hanya mampu mengikut.

Akan tetapi, bila jawapan itu yang kuberikan, mereka seakan-akan tidak dapat menerimanya.

Aku faham, kerana bagi mereka siti bisa membuat pilihannya sendiri. Mereka mungkin nampak keadaan yang tipikal. Let me explain please.

Mentaliti kita.

Bila kita mendengar ibu tiri, umum menganggapnya sebagai bengis, garang tak bertempat. Tapi ternyata tak semua begitu.

Kita sejak kecil disogokkan dengan kisah Cinderella yang sering didera keluarga tiri. Nampak tak macam mana pendidikan di zaman awal kita mempengaruhi hidup kita sekarang?

Begitu jugalah dengan duda. Mungkin dia menduda ada sebab tersendiri.

(kalau anda merasakan aku menyokong sepenuhnya, anda salah. Anda sedang membaca bahagian mengapa aku bersetuju)

Kerana bagi aku, setiap yang berlaku, there is something behind there. Like people said, there is always another side of the story.

Menyedari hakikat itu, aku sekarang hanya mendengar cerita-cerita yang berlegar sepintas lalu sahaja. Kerana mungkin interpretasi penyampai itu berbeza dengan kisah sebenar.

Kisah pergaduhan pemimpin negara pun aku baca tanpa rasa taksub untuk percaya. Kerana bias sudah berlaku.

Macam-macam sebenarnya untuk dihuraikan. Kalau aku menyatakan contoh-contohnya, nanti entri ni jadi sudut motivasi pula. (tersenyum sambil mulut humming – mungkin sukar tuk difahami, kerna tak tercapai akalmu!)

Sebabnya aku memang pemikir. Aku suka melihat dari pelbagai perspektif dan sudut. Dan aku suka membuat tafsiran sendiri. Aku adalah aku.

Berbalik ke topik asal, mengapa aku setuju.

3 – senyuman bahagia

Memanglah aku bila mendengar kisah ini, hatiku panas. Aku marah. Aku sedih. Kenapa ini harus berlaku kepadanya?

Tapi bila aku melihat surat khabar hari ini, semunya terhapus.

Gambar dia bersama pilihan hatinya, dengan senyuman terukir di wajahnya. Entah kenapa baru kali ini aku merasakan senyumannya kali ini tulus dari hati. Tidak pura-pura.

Hidupnya sukar. Jika dia dipandang peminat, dan mukanya masam, pelbagai spekulasi akan timbul. Sejak itu, aku merasakan senyuman memang tak pernah lekang dari bibirnya. Dan aku merasakan senyuman itu adalah tugasnya.

Tapi berbeza dengan senyumannya yang kulihat di dalam akhbar hari ini. Ia ikhlas. Entah kenapa aku rasakan begitu, aku pun tak tahu.

Jadi, aku mengambil langkah, asal dia bahagia buat masa sekarang, aku tumpang gembira.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
TAK SETUJU!!!

1 – kehilangan... dia adalah dia

Aku tak setuju bukannya apa, aku merasa kehilangan. Ya, kehilangan.

Ek ellen kamal, apa pulak kaitan dia dengan kau!

Memang pada zahirnya tak nampak kaitannya. Kerana ia yang terdalam dalam diriku. Sukar diluahkan.

Hurm, i try ok.

Macam ni.

Kenanganku dengan dia sudah lama. Sudah banyak. Tak terhitung.

Memanglah hanya dari jauh. Tapi kurasakan dia dekat di hati. Aku rasakan dia seperti di sisi. Aku rasa aku mengenal hati budinya.

Siapa yang meneman aku bila aku kesepian, tak ada kawan sekepala, hanya ada
mereka yang suka menghina?

Siapa yang selalu menemanku bila tak
boleh tidur, di waktu malam hari?

Siapa yang menemaniku bila aku
dalam perjalanan yang panjang, dari satu tempat ke tempat yang lain?

Dia, dia dan dia.

Memanglah hanya melalui lagu-lagu, alunan suara yang semuanya mengikut skrip, ternyata dia bukan di sisiku.

Tapi, yang terjalin dapat ku rasa. Dan aku tak bisa menipu diri sendiri.

Pengalamanku bertentang mata dengannya sudah cukup membuktikan jalinan tanpa sedar yang sudah terikat. Rata-rata mengakui, dia memang peramah, pandai melayan peminat. Menghargai setiap seorang dari mereka tanpa ada terkecuali. Bermuka sedih dan dukacita apabila permintaan peminat tidak ditunaikan. Dia memang begitu.

Mungkin ini semua hanyalah pujian-pujian yang anda biasa baca, dan anda merasakan ‘ala, dia ni peminat siti, sebab itulah dia tulis camni’. Tapi anda silap. Aku berbeza. Seperti ku katakn tadi, aku adalah aku.

Aku sering mencari jalan tersendiri untuk mendekatinya. Aku tak selalu terikut-ikut dengan orang lain. Itulah aku.

Jika anda ingin membuktikan, jumpa sendiri dengannya. Anda akan terasa begitu dihargai. Eye contactnya, ketulusan hatinya, semua tergambar. Sedangkan kawan aku yang tak pernah meminatinya pun datang memeluk, salam bagai, bila berjumpa dengannya secara tidak sengaja.

Anda kena merasainya, baru anda faham.

Aku terasa kehilangan kerana, mungkin selepas ini tiada lagi yang baru darinya. Rasa yang selalu ku rasa bila menanti lagu-lagu baru darinya mungkin tiada lagi. Keterujaan mungkin akan hilang. Kerana dia kini mempunyai tanggungjwab yang menghalang. Entah kenapa itulah yang aku rasakan. KEHILANGAN.

2 – pandangan masyarakat

Tak setuju – kerana selepas ini mungkin aku akan kembali meminatinya secara diam-diam. Kerana pandangan masyarakat.

Aku pernah menyorok kerana meminatinya. Bagi lelaki, tak cool lah kalau minat Siti Nurhaliza. Tak cool lah kalau tak layan lagu-lagu rock. Tapi jiwaku bukan kat situ, aku nak buat macam mana?

Dan sampai satu tahap, bila ku rasakan dia sepatutnya dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia – ketika dia berjaya di RAH, aku mula menunjukkan aku meminatinya secara terang-terangan.

Walau ada yang mengutuk, bagiku mereka tak mengerti apa itu rasa bangga.

Kerap kali aku ke London melalui cd, vcd dan terbaru, dvdnya. Tiap kali itu juga, aku bangga kerana dia setanding dengan mereka yang lain di pentas antarabangsa.

Dia sudah menyapu awan melalui pelangi yang diciptakan sendiri. Tapi paksinya tetap di tanah. Aku bangga muzik melayu dipertontonkan dengan begitu elegan sekali.

Itu dulu. Sebelum kisah kahwin ini timbul. Mungkin selepas ini untuk melihat klip dia di dalam laptop pun, aku perlu keseorangan. Kerana mereka akan berkata:

“Oi, kamal, dia nak kahwin dah... buat apa ko tengok lagi”

“Ko minat lagi minah yang suka laki misai tebal ni? Ko bukan ada misai pun!” Adoi!

Itu mungkin kata-kata mereka.

Minat masih ada. Mungkin kali ini dengan cara berbeza. Aku kena adaptasikan diriku dan minatku dengan keadaan kini. Mungkin mengambil masa yang lama. Entahlah... i dont favor changes very much.

Pandangan masyarakat jugalah membuatku tertekan. Serius!

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

CT yang nak kawin, aku yang tertekan!

Selepas umum mengetahui berita itu, aku yang jadi mangsa. Alahai, macam aku je yang nak kahwin.

Kelakar juga bila fikir balik, ct yang nak kahwin, aku yang tension.

Tertekan bukannya apa, bila lalu je ada yang berkata:

“Abislah kamal, frust menonggeng la ko!”

Frust tak la sangat, menonggeng memang dah lama! Hehe

“Takpe kamal, teruskan hidup. Bunga bukan sekuntum!”

Ces, macam la ct tu awek aku.

“Apa la ct pandang kat datuk k tu? ‘Kuat’ sangat ke? Tah tah nanti Mawi kena bantu ngan Power Root!”

Lucah sikit. Tu pun dah cover banyak. Yang betulnya lagi lucah. Biasalah lelaki. Hehe

Apapun pandangan diorang dan kata-kata diorang, aku buat-buat tak kisah. I repeat, aku buat-buat.

Zahirnya aku akan melawak kembali. Untuk menukar tajuk perbualan sebenarnya.

Kerana sedikit sebanyak aku terkesan juga. Kerana kenangan yang terjalin dah lama. Yang tak merasa takkan memahami.

Penutup

Entri panjangku mengenai dia ku akhirkan di sini.

Apa pun hidup perlu diteruskan. Jalinan akan tetap ada, namun caranya berbeza. Hidupku perlu diteruskan juga. Dan masih, aku akan ditemani rangkaian lagu-lagunya dan kenangan semalam.

Aku tak bisa meramal masa depan, apa yang akan terjadi. Kerana semua di tangan NYA. Sejauh mana akan bertahan – itu aku takkan jawab.

Trimas!

Kepada yang membaca hingga ke ayat ini, terima kasih. Anda memang benar-benar ingin tahu apa yang terdalamku. Walau sedikit cuma.

Yang terluah tak menggambar apa yang dirasa, kerana yang terluah kadangkala hanya untuk menyedapkan hati semua.

Kenali aku bukan dari sifat nakalku, dan senyum poyoku.

Kenali aku seperti anda membaca blog ini.

Kerana inilah sebenarnya yang terdalam bagi diriku.

p/s – borang untuk mengenali diri beta sudah dikeluarkan. Siapa berminat sila dapatkan! (Love Hunting Session setelah Dealova tiada kesudahan – dan aku sudah letih!)


:::YTBACK!!!:::

0 comments: