Konflik...

10 Julai 2006
Konflik...

Di sini aku menulis lagi kisah hidupku. Agar semua rasa terluah dan aku kembali tenang.

Hari ini entah kenapa, di sebalik tawaku, aku rasakan aku tertekan dengan permasalahan yang aku tanggung selama ini. Yang aku simpan dari mata orang lain.

Baru mendapat panggilan dari rumah sebentar tadi. Bertanyakan bagaimana suasanaku di hari pertama pengkuliahan di semester baru ini.

Apa lagi perlu dikatakan? Mereka tahu aku dalam kesusahan di sini. Dan mereka seolah-olah mengelak dari membantuku menyelesaikan masalah itu.

Pertanyaan tidak memberi sebarang kesan. Hanya menambahkan luka yang terpendam. Untuk apa ditanya perkara yang sudah jelas nampak dan diketahui?

3 bulan, satu tempoh yang lama untukku bertahan. Satu tempohyang agak lama untuk orang yang panas baran sepertiku.

Kadangkala aku sendiri terkejut kemampuan diri untuk bersabar. Sabarkah itu? Atau takut?

Ya, memang aku takut. Aku takut untuk mengambil langkah untuk mengikut kata hatiku. Aku takut ia akan melukakan hati mereka.

Sepanjang ini, banyak telah ku korbankan, perasaanku, siapa aku. Aku takut mereka terluka. Bagiku pengorbananku apalah sangat dibandingkan dengan mereka.

Tapi bagaimana akan kulalui semua ini. Persoalan ini semakin menyesakkan fikiran. Tanpaku sedar, aku termenung memikirkannya, dan akhirnya aku kembali menyalahkan diri sendiri.

Aku rasakan diri terlampau bodoh. Tidak ada daya upaya untuk bertindak atau sekurang-kurangnya, menyesuaikan diri dengan keadaan. Kelemahankah itu?

Aku sedar, aku yang tertua. Dan banyak perlu ku korbankan.

Kadang-kadang bila sampai ke satu tahap, mereka bagaikan tidak tahu berbuat apa-apa. Kerana aku yang tertua, dan aku yang selalu menghadapinya dahulu.

Dan aku selalu menjadi mangsa atas tindakan mereka yang tidak peka dengan keperluan untuk terus hidup.

Aku selalu membandingkan diriku dengan kawan-kawan seusia, yang rata-ratanya bukanlah sepertiku, mereka yang tengah atau yang termuda. Segalanya mereka cepat kecapi, kerana mereka ada yang lebih tua untuk membantu. Siapa yang ada untukku?

Semakin hari mereka semakin tua. Semakin mereka berasa puas dengan hidup mereka. Sedangkan hidup aku baru nak bermula!

Mungkin ini adalah cabaran yang harus dan perlu aku hadapi. Aku sering berfikir begini, mungkin yang lain pun ada mengalami keadaan sepertiku. Entahkan betul entah tidak.

Aku di sini kerana mereka. Jika turutkan kata hatiku, aku tiada di sini. Telah banyak usahaku lakukan untuk bertahan. Tapi kadangkala aku merasa tiada daya. Bagaikan tiada hidup.

Selama ini aku menurut kata. Menurut sahaja tanpa banyak soal. Walaupun pada zahirnya mereka mengatakan aku bebas untuk membuat pilihan, tapi dalam diam mereka menyelitkan pilihan mereka.

Mereka mendominasi hidupku. Mereka memilih jalan hidupku. Siapakah aku? Boneka? Pelengkap cita-cita mereka?

Secara zahirnya akulah kebanggaan. Segala kejayaanku dicanangkan. Juga diperbandingkan. Tapi di dalam, aku terkurung. Aku tak bebas. Aku tak merdeka.

Kata-kata ini ku tulis dengan airmata mula berkaca. Aku sebak sebenarnya bila mengatakan soal ini.

Aku selayaknya tidak layak untuk menyoal. Juga tidak layak untuk berkata-kata mengajar mereka. Mereka lebih dulu makan garamnya.

Tapi dunia berubah dan kian mencabar. Situasi mereka dulu tidak sepertiku. Untuk bertahan aku banyak membuang hatiku sendiri. Bilakah akan ku turutkan kata hati?

Tulisanku ini bukan berniat mempersoal atau memperkecil. Di satu sudut hatiku, mereka masih ku kenang sebagai yang banyak berjasa dalam hidupku. Aku seringkali mengelak untuk berkata-kata soal mereka kepada orang lain. Rahsia permasalah mereka ku simpan di hati

Tapi ini adalah luahanku di kala aku tidak tahan. Dan di sini sahajalah tempatku meluah.

Mungkin anda akan bertemu denganku di luar. Ketahuillah senyumanku kadangkala bukan seikhlasnya. Hanya topeng untuk mengaburi dunia. Aku rasa ramai orang begini bukan?

Dan ketahuilah, di muka yang teraut indah ini, banyak permasalahan yang ditanggung. Bezanya tersirat atau tidak, tergambar atau tak ternampak.

Sejauh manakah aku akan bertahan dengan semuanya?


:::YTBACK!!!:::

0 comments: